Thursday, August 13, 2009

Penangguhan program dan tips penjagaan kesihatan diri

Salam kepada semua warga INFORMS,

Berikutan penularan influenza A (H1N1), atas arahan dari pihak atasan UiTM maka semua aktiviti yang telah dirancang bagi semester jul-nov 2009 telah ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Di harap semua warga INFORMS dapat menjaga kesihatan diri bagi mengelakkan sebarang penyakit yang tidak diingini berlaku. Berikut adalah maklumat yang pengarang ingin berkongsi kepada semua panduan penjagaan kesihatan diri dirumah:

PENJAGAAN KESIHATAN DIRI DI RUMAH:
  • Jika demam makan ubat paracetamol mengikut dos yang disyorkan.
  • Demam yang telah reda tidak bermaksud anda telah sembuh tetapi boleh membuatkan anda berasa lebih selesa. Patuhi arahan pada label ubat. Dapatkan nasihat pengamal perubatan tentang ubat yang disarankan, sukatan yang sesuai, kesan sampingan ubat dan bila pengambilan yang perlu dihentikan.
  • Berehat secukupnya.
  • Banyakkan pengambilan cecair ( termasuk air mineral, bubur, isotonik, jus buah-buahan dan sup) bagi mengelakkan dehidrasi.
  • Serkiranya mengalami tanda-tanda kecemasan ( sila rujuk pada Panduan Menilai Tahap Kesihatan Diri Di Rumah) segera dapatkan rawatan doktor.
  • Pastikan pengudaraan yang baik di rumah ( contohnya membuka tingkap di bilik, dapur, tandas, dan bilik mandi)
NASIHAT UNTUK PESAKIT DAN AHLI KELUARGA BAGI MENGAWAL JANGKITAN DI RUMAH:
  • Amalkan Etika Batuk
Pesakit mesti mengamalkan etika batuk yang betul. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan pencuci tangan berasaskan alkohol. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.

  • Tingkatkan Penjagaan Kebersihan Diri
Pesakit dan semua ahli keluarga mesti mengambil langkah-langkah berikut:
  1. Kerap cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan cuci tangan berasaskan alkohol.
  2. Keringkan tangan dengan tisu atau tuala yang berasingan untuk setiap ahli keluarga.
  3. Cuci pinggan mangkuk dan peralatan lain serta permukaan-permukaan yang kerap disentuh dengan menggunakan bahan pencuci yang biasa digunakan di rumah.
  • Jangan Kongsi Peralatan Peribadi
Peralatan seperti pinggan mangkuk dan kain seperti tuala, cadar dan selimut tidak boleh dikongsi oleh ahli keluarga pesakit. Semua barangan ini perlu dicuci dengan sabun dan air.

  • Menjarakkan Diri
  1. Pesakit dinasihatkan supaya tidak meninggalkan rumah sehingga mereka sembuh, lazimnya selama 7 hari.
  2. Pesakit seboleh-bolehnya diminta tinggal di bilik berasingan.
  3. Ahli keluarga khususnya yang cenderung mendapat komplikasi ( khususnya ibu hamil) seboleh-bolehnya hendaklah menjarakkan diri daripada pesakit sekurang-kurangnya 1 meter untuk mengelakkan jangkitan.
  4. Sekiranya pesakit terpaksa keluar rumah contohnya untuk mendapatkan rawatan beliau hendaklah memakai penutup mulut dan hidung, mengamalkan etika batuk yang betul dan kerap mencuci tangan.
PANDUAN MENILAI TAHAP KESIHATAN DIRI DI RUMAH
Anda perlu mendapatkan rawatan segera di hospital jika anda mengalami mana-mana tanda dan gejala berikut:
  1. Masalah pernafasan
  2. Batuk berdarah atau kahak berdarah
  3. Sakit dada berterusan
  4. Cirit birit atau muntah yang kerap
  5. Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berulang selepas 3 hari pulih
  6. Berkelakuan tidak normal, keliru, kurang responsif kepada rangsangan atau sawan
  7. Rasa pening apabila berdiri
  8. Kurang kencing
Di harap informasi di atas dapat memberikan sedikit manfaat kepada diri anda dan juga tidak lupa anda bolehlah berkongsi maklumat tersebut kepada rakan-rakan, sahabat handai dan kepada sesiapa jua yang anda kenali. Semoga kita dapat dijauhkan segala penyakit dan jagalah kesihatan. Sekian...

* Info dari Pusat Kesihatan UiTM Malaysia



No comments:

Post a Comment