Salam sejahtera kepada warga Fakulti Pengurusan Maklumat. Sebelum saya meneruskan, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana diberi peluang untuk menyampaikan beberapa perkara di ruangan ini.
Yang pertama, kepada semua pensyarah UiTM Samarahan yang pernah mengajar saya terutamanya dari fakulti kita, saya sangat manghargai segala usaha dalam mengajar saya selama ini. Tanpa anda semua, saya tidak akan dapat mencapai keputusan yang dapat diri saya banggakan.
Menyentuh serba sedikit tentang diri, nama saya Helisia anak Nohes, berasal dari Penrissen, Kuching dan dilahirkan pada 23 Mac 1987. Pengajian peringkat diploma saya bermula pada Dec 2007 dan tamat pada Nov 2009. Sekarang saya mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama dalam bidang Sains Pengajian Maklumat (Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat) di UiTM Shah Alam kampus Puncak Perdana.
Sebelum masuk ke fakulti kita, saya telah ditawarkan Diploma Sains Komputer tetapi telah ditukarkan ke Diploma Pengurusan Maklumat. Saya sebenarnya tidak pernah memohon pun untuk masuk ke UiTM dan semasa mendapat tawaran, saya terkejut. Rupanya kakak saya yang telah menguruskan semuanya. Penukaran bidang juga dibuat tanpa pengetahuan saya. Tetapi saya tidak pernah menyesal memasuki fakulti ini kerana saya memang sukakan perpustakaan walaupun diakui pada awalnya tidak tahu apa-apa tentang fakulti kita. Memang tidak dapat disangkal pandangan sesetengah orang terhadap fakulti kita agak negatif kerana mereka tidak mengetahui lebih mendalam tentang kita jadi itu adalah tugas kita sebagai pelajar fakulti ini untuk membuka mata masyarakat terhadap stigma yang salah terhadap bidang kita. Sedarkah anda bahawa kita memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan maklumat disampaikan dengan berkesan terutamanya pada zaman sekarang. Jadi jangan sesekali merasa malu untuk menjawab jika ditanya anda belajar dalam bidang apa atau bila berhadapan dengan pelajar dari fakulti lain kerana hakikatnya, tanpa sokongan dari bidang kita, mereka juga takkan dapat sampai ke mana-mana. Bayangkan tiada perpustakaan di kampus kita, di mana anda ingin mencari ilmu? Internet? Sekiranya maklumat di Internet itu tidak diuruskan dengan baik, adakah anda akan dapat maklumat yang diinginkan? Mungkin dapat, tetapi adakah maklumat itu berasal dari sumber yang dapat dipercayai kesahihannya?
Secara jujurnya, saya tidak mempunyai tips-tips belajar yang dapat saya kongsi di sini. Saya juga suka belajar last minute. Bagi saya cara kita belajar adalah bergantung pada diri dan seberapa banyak usaha yang dicurahkan. Yang paling penting adalah memahami bukannya menghafal. Satu lagi, jangan lupa untuk membantu kawan-kawan yang meminta bantuan kita kerana ilmu takkan hilang jika dikongsi. Anggaplah persaingan dalam kelas sebagai cabaran untuk menjadi lebih baik lagi. Selain itu, pastikan mendapat rehat yang cukup, bukan terlebih rehat dan harus bersarapan setiap pagi kerana sarapan merupakan waktu makan yang paling penting. Jangan lupa juga untuk menghormati semua pensyarah kerana mereka adalah sumber ilmu kita. Yang terutama sekali, hargailah segala pengorbanan ibubapa kita kerana mereka adalah orang yang paling sayangkan kita. Justeru itu, lakukanlah yang terbaik dalam pelajaran demi diri dan mereka. Sebagai pelajar Fakulti Pengurusan Maklumat, kita harus bangga dengan identiti kita dan berusaha untuk menjadikan fakulti ini lebih mahsyur serta dapat mengubah persepsi golongan tertentu terhadap bidang kita.