Thursday, January 17, 2013

Anugerah Siswazah Cemerlang FPM Graduan Terbaik IM222 & Alumni Cawangan UiTM Samarahan, Sarawak Tahun 2012




Mohammad Hafizzul Sulaiman, cahaya mata tunggal kepada Encik Sulaiman bin Morsidi dan Puan Horiah binti Narawi, dilahirkan pada 25 September 1989 di Kuching, Sarawak. Hidup dalam serba sederhana, beliau sentiasa cekal untuk mencapai apa jua kejayaan agar nasib keluarganya dapat dibela di hari kelak.

Dikenali dengan sifat riang, berbakat dan bercita-cita tinggi, beliau mendapat pendidikan awal di Tadika KEMAS pada usia 6 tahun. Beliau memulakan alam persekolahannya di SK St. Joseph, Kuching, dan kemudian meneruskan pengajian ke peringkat menengah di SMK St. Joseph, Kuching. Bagi setiap peperiksaan yang didudukinya termasuklah UPSR, PMR dan SPM, beliau sentiasa memperoleh keputusan yang baik dan membanggakan.

Pada pertengahan tahun 2007, saudara Mohammad Hafizzul telah ditawarkan kursus Diploma Pengurusan Maklumat di UiTM Kampus Samarahan. Bagi beliau, menguasai satu bidang yang baru adalah sebuah cabaran yang konkrit. Untuk mencapai kecemerlangan yang stabil, beliau bijak membahagikan masa untuk bergiat aktif dalam kurikulum dan aktiviti luar kuliah. Beliau juga seorang yang suka menyelidik dan mempelajari benda baru serta mendalami sesuatu ilmu yang diminatinya. Menyangkal persepsi seseorang “belajar-untuk-lulus”, beliau sentiasa mempraktikkan ilmu yang beliau pelajari untuk faedah seharian dan sebaik-baiknya diturunkan kepada pelajar-pelajar junior seterusnya.
Beliau turut menjaga hubungan baik antara pelajar-pelajar lain, para pensyarah serta komuniti universiti secara amnya. Sifat ringan tulang dan tidak kedekut ilmu menyebabkan beliau disenangi dan disegani oleh setiap individu yang mengenalinya. Pada tahun 2010, beliau menamatkan pendidikan di peringkat diploma dengan memperoleh PNGK 3.90 sekaligus menerima Anugerah Naib Canselor, Anugerah Graduan Terbaik (Fakulti) dan Anugerah Graduan Terbaik (Program).

Sejurus selepas kejayaan itu, saudara Mohammad Hafizzul melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam pengkhususan Sains Pengurusan Rekod dengan Kepujian di UiTM Kampus Puncak Perdana, Shah Alam bagi sesi Julai 2010. Beliau memilih untuk menceburi jurusan tersebut atas sebab minat dalam bidang Sains Arkib dan Sejarah Pentadbiran.

Sepanjang penglibatannya di UiTM Kampus Puncak Perdana, beliau aktif dalam segala aktiviti yang disertainya, termasuklah mengetuai dan mengendali beberapa buah seminar dan majlis ilmu. Antara seminar yang berjaya mendapat sambutan dan mencapai objektif secara menyeluruh adalah Misi Akademik dan Aspirasi 2012; Seminar Pengurusan Maklumat Kesihatan dan Rekod Perubatan; Seminar dan Bengkel Pembangunan Kerjaya Rekod; dan majlis-majlis ilmu yang lain. Beliau juga prihatin terhadap tahap kebolehpasaran graduan UiTM dengan menyertai majlis perbahasan dan pidato sebagai saluran penyebaran maklumat.
Selain itu, saudara Mohammad Hafizzul juga bergiat aktif dalam aktiviti sukan, badan persatuan dan aktiviti-aktiviti tambahan yang lain. Beliau turut mempamerkan sifat-sifat kepimpinan dan setiakawan setelah dilantik sebagai Koordinator Pembangunan Kerjaya bagi badan persatuan pelajar Integration of Records Communty (i-REC). Tambahan pula, dengan kepetahan bertutur yang sedia ada, beliau sering dijemput sebagai penceramah malah mengacarai sesebuah majlis.

Usaha beliau tidak sia-sia apabila pihak fakulti dan UiTM memberi pengiktirafan sehingga dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Fakulti dan Program pada Majlis Malam Pra-Graduasi Jun 2012. Pada Istiadat Konvokesyen ke-77 baru-baru ini, beliau menerima Anugerah Siswazah Terbaik Fakulti dan Anugerah Graduan Terbaik Program IM222 selain meraih Anugerah Naib Canselor buat kali kedua. Saudara Mohammad Hafizzul menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah dengan memperoleh PNGK 3.94.

Sebagai seorang pelajar yang bijak merancang perjalanan hidupnya, saudara Mohammad Hafizzul berazam untuk melanjutkan pelajarannya keperingkat Sarjana. Pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini berharap agar beliau berpeluang untuk melanjutkan pengajian Sarjana di United Kingdom. Menurut beliau, berkecimpung dalam bidang Pengurusan Maklumat adalah satu penemuan paling istimewa kerana bidang ini amat sesuai dengan karekter dan peribadi beliau tanpa perlu ada paksaan mahupun desakan. Rancangan beliau pada masa akan datang adalah untuk terus berbakti kepada UiTM sebagai seorang pensyarah atau tenaga pengajar sebaik sahaja beliau berjaya menamatkan pelajaran diperingkat PhD (Doktor Falsafah). Harapan beliau kepada semua warga UiTM agar martabat bangsa bumiputera kita dapat ditingkatkan dan dikenali sebagai graduan yang berdaya saing serta gemilang di mata dunia

No comments:

Post a Comment